Bagi mengurangkan risiko kanser :
Jangan merokok.
Elakkan diri daripada perokok.
Mengambil langkah-langkah yang bijak apabila mendedahkan diri kepada
cahaya matahari.
Sentiasa cergas.
Mengekalkan berat badan yang seimbang.
Elakkan daripada meminum alkohol atau menghadkan pengambilanya.
Mengamalkan diet
yang sihat.
Bertekad untuk mengurangkan risiko kanser
Sebagai permulaan…berhenti
Kebanyakan warga Malaysia menikmati kesihatan dan
umur yang panjang. Walau bagaimanapun, risiko kanser bagi sesetengah orang
berkait rapat dengan aktiviti harian mereka.
Anda dapat mengelakkan diri daripada mendapat
kanser dengan mengubah cara hidup.
Memilih cara hidup yang sihat merupakan pilihan yang
bijak. Cara hidup yang sihat bukan sahaja akan mengurangkan risiko kanser,
malah anda juga akan lebih bertenaga dan berasa lebih sihat. Keputusan ini juga
akan mengurangkan risiko anda mengalami masalah jantung, kencing manis dan
obesiti.
Dianggarkan 3,500 daripada setiap 10,000 kematian
setiap tahun di Malaysia dikaitkan dengan masalah akibat merokok.
Merokok mengakibatkan kanser pada paru-paru,
tenggorok (larinks), orofarinks, buah pinggang atau ginjal, esofagus, pundi
kencing, mulut, bibir, lidah, saluran sinus, serviks, ureter, sumsum tulang,
pankreas dan perut.
Namun begitu, anda masih belum terlambat untuk
berhenti merokok. Lebih muda usia anda ketika anda berhenti merokok dan lebih
awal anda berhenti, adalah lebih baik. Malah perokok yang berhenti merokok
ketika berumur 60 tahun pun masih dapat mengurangkan peluang untuk mendapat
kanser dan penyakit-penyakit lain.
Pilihan terbaik untuk kesihatan anda adalah
dengan berhenti merokok.Malah yang lebih baik lagi ialah jangan mula merokok.
Sekalipun anda tidak merokok, menyedut udara yang
mengandungi asap rokok orang lain boleh meningkatkan risiko kanser anda.
Pastikan anda dan ahli keluarga anda bebas daripada asap rokok.
Elakkan diri daripada terdedah kepada asap rokok
Berusahalah untuk:
Menjadi contoh seorang yang tidak merokok kepada orang lain.
Memaklumkan kepada orang lain jika asap rokok mereka mengganggu anda.
Meminta supaya
tempat kerja anda bebas daripada asap rokok (jika belum lagi).
Menjadikan rumah dan kereta anda bebas daripada asap rokok.
Memilih tempat yang
bebas daripada asap rokok.
Menjaga Kulit Anda
Kulit boleh terselar dalam tempoh kurang 15 minit
apabila terdedah kepada cahaya matahari. Lebih lama kulit anda terdedah kepada
matahari, lebih tinggi risiko untuk mendapat kanser kulit.
Berusahalah untuk :
Mengguna pelindung, terutamanya apabila terdedah kepada radiasi ultra
ungu yang tinggi – antara 10 pagi hingga 3 petang.
Memakai topi yang menutupi bahagian kepala dan leher, pakaian yang
menutup seluruh badan serta longgar, dan cermin mata hitam. Cermin mata besar
adalah yang terbaik.
Melindungi anggota badan anda yang terdedah dengan menggunakan
pelindung cahaya matahari SPF 30+, 20 minit sebelum mendedahkan diri kepada
cahaya matahari.
Menyapu losyen pelindung cahaya matahari pada anggota badan setiap dua
(2) jam.
Berjumpa doktor
apabila anda mempunyai luka yang tidak sembuh, tahi lalat yang mucul tiba-tiba
atau mengeluarkan darah atau berubah saiz, ketebalan, bentuk atau warna.
Anda perlu berusaha untuk berhenti merokok, dan
anda mungkin perlukan bantuan
Jika anda teringin hendak merokok, cuba fikir betul-betul kenapa anda
harus mula merokok dan fikirkan kesannya kepada kesihatan anda. Tumpukan
pemikiran anda pada faedah tidak merokok: untuk kesihatan anda – dan kewangan
anda !
Jika anda merokok, cuba bersungguh-sungguh untuk berhenti. Dapatkan
pertolongan ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan.
Anda juga boleh
melayari laman web http://www.myhealth.gov.my bagi mendapatkan nasihat
untuk berhenti merokok.
Keluarlah dan lihat alam!
Menjaga diri supaya sihat dan cergas banyak
faedahnya. Seseorang yang cergas banyak hari dalam seminggu dapat mengurangkan
risiko kanser payudara (selepas menopaus), kanser usus dan mungkin kanser
prostat. Kecergasan juga dapat mencegah penyakit jantung dan strok, serta
menguatkan otot serta tulang.
Untuk kekal sihat, anda digalakkan bersenam
secara sederhana (berjalan laju, mengayuh basikal, memotong rumput atau
berenang) sekurang-kurangnya selama 30 minit banyak hari dalam seminggu.
Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa senaman selama 60 minit sehari
termasuklah senaman aktif (seperti bermain bola sepak, bola jaring atau joging)
berkemungkinan besar dapat mengurangkan risiko kanser.
Berusahalah untuk :
Menjadikan senaman sebagai peluang, bukannya sesuatu yang menyusahkan.
Bergerak cergas setiap hari, dalam apa cara sekalipun: berjalan kaki
bukannya menaiki kereta ke kedai atau apabila keluar makan.
Berjalan kaki atau berbasikal ke tempat kerja, dan naik tangga
bukannya lif.
Melakukan aktiviti yang anda gemari atau yang anda dapat lakukannya
bersama-sama kawan seperti bermain tenis, berenang, dan bersiar-siar.
Membina rutin senaman secara beransur-ansur dengan memilih mana-mana
aktiviti yang disukai.
Berbincang dengan
doktor anda sebelum memulakan senaman jika anda sudah lama tidak bersenam.
Mengekalkan berat badan yang seimbang dengan
ketinggian anda bukan satu perkara yang mudah bagi kebanyakan orang. Namun,
terdapat bukti yang menunjukkan bahawa obesiti meningkatkan risiko kanser
payudara (selepas menopaus) dan endometriosis, usus, esofagus dan ginjal. Oleh
itu, usaha mengekalkan berat badan adalah usaha yang berbaloi.
Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan,
sebenarnya anda makan melebihi apa yang diperlukan oleh ketinggian dan tahap
aktiviti anda. Bersenam dengan lebih kerap dan makan diet yang seimbang
merupakan dua cara terbaik untuk mengekalkan berat badan yang sihat dan
mengurangkan risiko kanser.
Mengekalkan berat badan yang seimbang
Adakah berat badan anda sihat?
Indeks Jisim Badan atau Body Mass Index (BMI)
merupakan satu cara untuk mengukur sama ada anda berada dalam lingkungan berat
badan yang sihat, dengan membahagikan berat badan (dalam kilogram) dengan
ketinggian (dalam meter).
Contoh:
Tinggi Danial ialah 1.74 meter dan berat badannya
82 kg.
Untuk menghitung BMI Danial:
82 ÷1.74÷1.74 = 27kg/m2
(Berat badan ÷ ketinggian ÷ ketinggian = BMI)
BMI yang sepatutnya ialah antara 18.5 hingga 25
kg/m2.
BMI yang kurang daripada 18.5 kg/m2 bermakna berat badan anda kurang daripada yang sepatutnya.
BMI yang lebih daripada 25 kg/m2 bermakna berat badan anda lebih daripada sepatutnya.
BMI yang melebihi
30 kg/m2 bermakna anda obes.
Secara purata penduduk malaysia mempunyai berat
badan 67.8 kilogram, ketinggian 1.63 meter dan ukuran pinggang 77.8 sentimeter
(31.1 inci).
Ini bermakna BMI purata ialah 25.08 – kebanyakan
penduduk kota termasuk dalam kumpulan berlebihan berat badan.
Masalah berat badan yang berlebihan dan obesiti
dalam kalangan kanak-kanak Malysia kini sedang meningkat.
Berusahalah untuk :
Mengurangkan berat badan sekitar 5-10% jika anda mempunyai berat badan
yang berlebihan atau obes dan jadikan keutamaan anda untuk tidak menambah berat
badan.
Mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang mempunyai kandungan
lemak dan gula yang tinggi. Makanan segera dan makanan yang telah sedia dimasak
yang dibeli di kedai selalunya mengandungi banyak lemak.
Pilihlah susu dan produk tenusu tanpa lemak atau kurang lemak dan
pilihlah keju lembut (ricotta dan kotej)
Memilih snek yang terdiri daripada sayur-sayuran atau buah-buahan.
Memberi contoh yang
baik kepada kanak-kanak dengan memilih makanan yang sihat dan sentiasa aktif.
Fikirkan tentang berapa banyak anda minum alkohol
Pengambilan alkohol akan meningkatkan risiko
kanser mulut, farinks, larinks, esofagus dan hati dan mungkin juga kanser payudara.
Untuk mengurangkan risiko kanser, elakkan sama
sekali daripada meminum alkohol. Jika anda hendak minum juga, hadkan jumlahnya.
Bagi lelaki – tidak lebih daripada dua minuman
yang standard sehari.
Bagi wanita – tidak lebih daripada satu minuman
yang standard sehari.
Apakah yang dimaksudkan dengan minuman yang
standard ?
360ml bir biasa
150ml wain
45 ml spirit
Jika anda hendak minum, berusahalah untuk :
Makan sedikit makanan apabila anda minum alkohol.
Menganggap segelas wain atau bir sebagai menambah keenakan makanan
bukan untuk mabuk.
Selang-selikan meminum alkohol dengan minuman tidak beralkohol seperti
air mineral atau soda.
Kurangkan kandungan alkohol, contohnya, cubalah shandy (bir
yang dicampurkan dengan lemonade), wain putih yang dicampurkan dengan air
mineral, spirit yang dicampurkan dengan minuman bergas yang rendah kalori.
Memilih bir rendah alkohol dan minuman wain.
Elakkan minum
mengikut nafsu.
Memakan daging yang diproses dan daging merah
yang banyak telah dikaitkan dengan kanser usus. Memakan daging yang diproses
seperti nugget, daging burger perlu dihadkan.
Memakan sayur-sayuran dan buah-buahan dengan
banyak penting untuk kesihatan anda secara keseluruhan dan dapat membantu
menghindarkan sesetengah jenis kanser, terutamanya kanser saluran penghadaman.
Cubalah makan sekurang-kurangnya lima hidangan sayur-sayuran dan dua hidangan
buah-buahan sehari. Anggaran satu hidangan ialah satu genggam.
Seboleh-bolehnya, pilihlah produk bijirin
biji-bijian penuh (seperti roti mil penuh dan nasi beras perang) berbanding
makanan yang telah diproses seperti roti putih dan nasi putih.Makanan
berasaskan biji-bijian penuh bagus untuk kesihatan dan akan membantu anda
mengekalkan berat badan yang sesuai.
Untuk kehidupan yang lebih baik, tingkatkan diet
anda dengan lebih banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan
Awasi diri sendiri
Berusahalah untuk :
Memakan ikan, ayam atau sayur-sayuran sebagai pilihan berbanding
daging merah.
Menggunakan daging sebagai bahan untuk menambah perisa dalam makanan,
bukan dijadikan hidangan utama.
Mengajar anak-anak
makan secara sihat. Kanak-kanak biasanya gemar akan sayur-sayuran yang tidak
dicampur.
Kanser yang dikesan pada peringkat awal mempunyai
peluang yang besar untuk sembuh. Berjumpalah doktor anda dengan segera jika
anda dapati apa-apa perubahan pada diri anda.
Perhatikan :
Benjolan, bengkak atau ulser yang tidak sembuh.
Perubahan luar biasa pada payudara - ketulan, benjolan, kawasan yang
menebal, cecair luar biasa keluar daripada puting, puting terperesuk ke dalam,
perubahan bentuk atau warna atau kesakitan yang luar biasa.
Batuk yang tidak hilang atau yang mengeluarkan darah, suara serak yang
tidak sembuh-sembuh.
Berat badan turun tanpa sebab.
Keluar darah, untuk wanita, walaupun hanya sedikit dalam tempoh antara
dua haid atau selepas haid.
Tahi lalat yang berubah bentuk, saiz, warna atau berdarah.
Darah dalam tinja atau najis.
Perubahan yang
ketara pada tabiat membuang air.
Kebanyakan masalah yang kurang serius dan lebih
biasa daripada kanser mempunyai simptom yang sama dengan kanser.
Oleh sebab saringan untuk kanser payudara, kanser
usus dan kanser serviks boleh menyelamatkan nyawa, maka pemeriksaan yang
berkala seperti yang berikut menjadi amalan yang sihat. Namun begitu, bagi
kanser prostat pemeriksaan ini agak kompleks.
Pemeriksaan awal untuk kanser payudara
Pemeriksaan payudara oleh doktor digalakkan
supaya dilakukan setahun sekali untuk wanita berusia 35 tahun ke atas. Jika
anda berusia antara 50 hingga 69 tahun, anda perlu pergi menjalankan ujian saringan
mamogram (x-ray payudara) setiap dua tahun sekali. Untuk mendapatkan khidmat
nasihat sila hubungi KanHelp Line di 03-89472706 .
Dapatkan ujian saringan
Dapatkan maklumat tentang saringan bagi kanser
usus
Lelaki dan wanita yang berusia 50 tahun ke atas
perlu menjalani ‘faecal occult blood test’ (FOBT) atau ujian darah
okulta tinja setiap dua tahun sekali bagi memeriksa kanser usus. Anda juga
boleh membuat ujian ini di rumah. Tanyalah kepada doktor anda tentang ujian
ini.
Membuat Ujian Pap Secara Berkala untuk Kanser
Serviks
Wanita berusia 20 hingga 65 tahun perlu membuat
ujian Pap setiap dua tahun sekali, meskipun anda tidak lagi mengadakan hubungan
seks. Ini merupakan cara terbaik untuk anda mengurangkan risiko kanser serviks.
Bagaimanakah dengan Kanser Prostat ?
Kaum lelaki tidak digalakkan menjalani ujian bagi
kanser prostat. Ini disebabkan, pada masa ini, tiada bukti yang kukuh yang
menunjukkan bahawa ujian tersebut dapat mengelakkan kematian disebabkan kanser
prostat. Walau bagaimanapun, penyelidikan yang sedang berjalan mungkin akan
dapat menyelesaikan hal ini suatu hari nanti .
Kami bukan mencadangkan supaya lelaki tidak
menjalani ujian. Malahan, lelaki perlu berbincang mengenai perkara ini dengan
doktor mereka dan membuat keputusan yang tepat untuk kepentingan diri mereka.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi KanHelp
Line di 03-8947 2706.
Perkhidmatan ini merupakan perkhidmatan sulit
yang dikendalikan oleh jururawat
kanser.
03-8947 2706
KanWork
http://www.ipsas.upm.edu.my/kanwork/
http://www.cancereducation.org.my/
Cancer Resource Centre
Aras G, Bersebelahan Pusat Sumber Diabetes,
Hospital Putrajaya,
Putrajaya,
Malaysia.
+603-8312 4200 ext 1105
Diterjemah daripada penerbitan:
Penterjemah:
Hafilah Musa
Dengan kerjasama:
Projek
Usahasama CaEd, Malaysia dan
The Cancer Council Victoria, Australia
No comments:
Post a Comment